Header Ads

Seronok Suami Kahwin Lain


Ada seorang kakak ni, dah dekat 'monopos', tetapi masih nampak bergetah kerana kulit cerah, kuning langsat, body masih mengancam jantan miang (lelaki beriman okay la kut) dan kecil molek orangnya. Hanya 5 kaki tinggi lebih kurang. Oleh itu tak terserlah ketuaannya malah jadi siulan orang.

Kak Nani (bukan nama sebenar).

Tapi entah macam mana, saya terdengar berita suaminya kawin lagi satu. Siap bersanding lagi dengan pelamin vogue. Paling pelik, buat di rumah sendiri. Bahkan, dua kali ganda pelik, kak Nani sebagai penyambut tetamu di hari bahagia si suami. Juga tiga kali ganda pelik, kak Nani menyambut madunya dengan senyuman yang asli (bukan kelat tau) di gerbang pintu rumah.

Apakah rahsia suami kak Nani itu yang bekerja hanya sebagai anggota penolong penguatkuasa?

Setahun setengah, dah dapat orang baru. Tidak pasti sama ada anak lelaki ke perempuan. Namun bila hampir genap dua tahun, cik abang tu kahwin lagi satu tanpa menceraikan kedua- duanya.

Ringkas cerita apa yang ditulis di perenggan kedua di atas itu, berulang. Bahkan isteri menyambut tetamu secara berjemaah, senyum, bangga dan tanpa sedih barang sekelumit pun!

Kak Nani pun montel, berisi dan bersusun gelang di tangan. Kagum saya akan suami kak Nani!

Telah ku sematkan di hati untuk mendapatkan petua dari cik abang. Apakah ilmu yang dimiliki?

Seminggu kemudian, dengan beradabnya saya menemui kak Nani sebagai isteri tua, meminta izin untuk berjumpa cik abang.

Bila dilontarkan hajat mohon ilmu makrifat suami hebat, kak Nani dengan yakinnya berkata, "tak perlulah berjumpa dengan suami akak. Sebab akak boleh dedahkan 'rahsianya' tanpa was-was,".

Saya agak kesal kerana tidak yakin dan kak Nani dengan pantas mencelah, "akak nak jadi isteri yang taat, isteri yang adil, yang saksama, beri semua madu merasa apa yang akak rasa.

"Biarlah betul-betul kak," kata saya.

"Akak mahu semua madu rasa apa yang suami beri. Kalau dulu, selalu akak kena penampar dan sepak terajang.

"Kini, mereka pun dapat. Lewat layan kehendak batin suami, kena tumbuk. Maka mereka pun akan merasa. Makanan kurang panas, kena baling dengan pinggan. Mereka pun dah mengalaminya.

"Kejut suruh bangun subuh, kena hentak di bucu katil mereka dapat juga. Tanya kenapa balik lewat, dibedal dengan buckle tali pinggang mereka pun rasa.

"Pokoknya, apa yang kak Nani rasa, mereka dapat dan rasa tanpa kecuali. Maka dah kurang apa yang akak dapat kerana pengagihan adil itu sesama kami," jelasnya.

Saya terkulat-kulat memikirnya dengan senyum simpulnya kak Nani menyambung,

"Dan sekarang akak dah boleh tidur lena, makan selera, badan tak lebam, sihat montel dan kini suami akak tak lagi minta duit gaji akak (bini lain gaji mahal), maka dapatlah beli gelang-gelang emas 916 ini," katanya sambil mengoyangkan lengan yang dipenuhi dengan gelang ibarat Rita Rudaini dalam filem Mami Jarum .

Saya terus batalkan hajat nak berjumpa dengan cik abang itu sebab bersyukur walaupun tak dapat ilmu kawin 3, setidak-tidaknya saya masih seorang lelaki dan bukannya jantan!

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.