Header Ads

'Saya Cuma Tunduk Pada Desakan Rakyat'


TAWAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menegaskan beliau tidak akan sesekali tunduk kepada mana-mana pihak ataupun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO meskipun ditekan dengan hebat.

Menurutnya, selagi rakyat memberikan sokongan kepadanya, beliau akan terus menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya," katanya ketika memberikan ucapan kepada 40,000 orang yang hadir di program Solidariti Rakyat Sabah di Padang Perbandaran Tawau, semalam.

Kenyataan tegas Najib itu mendapat tepukan dan sorakan dari para hadirin disertai dengan paluan gendang.

Najib menegaskan, jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang dijawatnnya itu adalah diperolehi mengikut proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara.

Ucapan Najib itu secara tidak langsung menjawab secara terbuka dan lantang desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, yang sebelum ini menyarankan agar beliau meletak jawatan dari dua jawatan penting itu.

 "Takkan satu suara (Dr Mahathir) lebih besar daripada suara yang didengari daripada para hadirin di sini dan di Kota Belud dan mandat diterima daripada seluruh negara," katanya.
   
Katanya setiap pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika menerajui pucuk pimpinan negara selama 22 tahun.

"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.
   
"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana Menteri", yang sekali lagi mendapat sorakan hadirin.
   
"Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri, sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak apa, jangan rosakan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.

Jawapan Tun Dr Mahathir berbelit-belit
   
Najib berkata kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit, sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.
   
Beliau menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.
   
Perdana Menteri menjelaskan ketika Tabung Haji membeli sekeping tanah milik 1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana Tabung Haji boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan Tabung Haji menjual tanah berkenaan.

Najib berkata melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji boleh untung sehingga RM5 hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan pendeposit Tabung Haji sendiri kerana jika aset itu tetap milik Tabung Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.
   
"Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata 'you are shooting yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah yang saya kata tidak rasional.
   
"Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang. Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.
   
Perdana Menteri berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini, beliau berazam untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian berkobar.
   
Turut hadir pada program itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh. - BERNAMA

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.