Header Ads

Filem 'Gila Baby' Ungguli Anugerah Lawak Warna 2015

SERDANG: Filem terbitan Grand Brilliance berjudul Gila Baby diumumkan sebagai Filem Komedi Terbaik pada Anugerah Lawak Warna 2015 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, Jumaat.

Pengarahnya, Khabir Bhatia pula berjaya membawa pulang trofi Pengarah Komedi Terbaik (Filem) menumpaskan calon lain seperti Mamat Khalid, Bernard Chaully dan Ismail Bob Hashim.

Khabir bersama Alfie Palermo turut menerima anugerah Lakon Layar dan Skrip Komedi Terbaik (Filem) menerusi karya sama.

Tambah manis, kedua-dua pelakon utamanya iaitu Nadiya Nisaa dan Beto Kusyairi menerima trofi Pelakon Komedi Lelaki dan Wanita Terbaik (Filem).

Dalam pada itu, Anugerah Khas Juri diberikan kepada AR Badul yang telah banyak memberikan sumbangan terhadap industri televisyen dan filem komedi sepanjang 40 tahun sebagai anak seni.

Sebanyak 18 kategori dipertandingkan termasuk 13 kategori yang diadili menerusi penjurian profesional manakala empat berdasarkan pilihan peminat.

Sementara itu, kategori televisyen pula menyaksikan trofi Telefilem Komedi Terbaik dimenangi oleh Jihan Nak Buat Rumah Terbuka terbitan KL Motion Pictures.

Pengarahnya, Syed Khairul Farez pula menerima trofi Pengarah Komedi Terbaik (TV).

Bagi kategori Pelakon Komedi Lelaki dan Wanita Terbaik (TV) dimenangi oleh Sharnaaz Ahmad (Suamiku Encik Sotong) dan Jihan Muse (Jihan Nak Buat Rumah Terbuka).

Rancangan Komedi Terbaik Bersiri pula dimenangi program Karoot Komedia X S3 manakala Rancangan Komedi Terbaik Bukan Bersiri milik Super Spontan 2014 (Akhir).

Keluarga Iskandar 2 pula menerima trofi Rancangan Drama TV Komedi Terbaik (Bersiri).

Dalam perkembangan sama, bagi kategori popular peminat memilih Datuk AC Mizal sebagai Pengacara Lawak TV Paling Popular manakala Sepahtu dipilih sebagai penerima trofi Artis Lawak Duo atau Berkumpulan Paling Popular.

Pelawak Jep Sepahtu berjaya mengekalkan kemenangannya menerusi kategori Artis Lawak Lelaki Popular buat kali ketiga.

Manakala Sharifah Sakinah juga mengekalkan trofi kemenangannya pada kategori sama.

Anugerah Lawak Warna 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz manakala Jihan Muse dan Syuk Balas sebagai pengacara Karpet Merah.

Antara artis yang tampil mengadakan persembahan adalah Bunkface, Douglas Lim, Bora, Bocey, Zainal Abidin, Black, Rahim R2 dan Afdlin Shauki.

Anugerah Lawak Warna 2015 disiarkan menerusi Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) pada pukul 9 malam.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.