TMJ pakai sarung tangan salam bukan mahram .. Sindir Pengkritik
Selepas ulasan panjang lebar di laman Facebook Johor Southern Tiger mengenai tindakannya yang dibidas sesetengah pihak kerana bersalaman dengan isteri pemain Johor Darul Ta’azim,(JDT), Safiq Rahim, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat-naikan sebuah video yang menyindir para pengkritiknya.
Video selama 16 saat itu dimuat-naikkan di laman sosial Facebook yang memaparkan baginda secara tiba-tiba disapa oleh peminat wanita ketika menuju ke kenderaanya.
Baginda terpaksa memakai sarung tangan tebal berwarna hijau yang dibawa oleh seorang pembantunya sebelum boleh bersalaman dengan dua wanita berkenaan.
Video berkenaan dipercayai sebagai menyindir warga maya yang sebelum ini membidasnya berikutan penyebara baginda bersalaman dengan isteri, Safiq ketika meluangkan masa di kafe milik kapten kelab bola sepak itu.
Semalam Tunku Ismail bertitah terdapat beberapa individu yang cuba untuk menjadi ustaz atau mufti negeri di laman facebook.
Menurut baginda, asalah sekarang adalah terlalu ramai yang cuba menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.
“Saya seorang Muslim dan agama suci Islam adalah lebih utama daripada saya. Saya akui yang saya bukan pakar tetapi apabila ia berkaitan dengan agama Islam, satu perkara yang saya percaya adalah Allah SWT akan memberkati anda, jika anda mempunyai hati yang baik, amanah, jujur, bantu-membantu dan menghormati orang lain.
“Terdapat banyak mazhab di dalam Islam. Siapa kita untuk mengatakan siapa antara kita akan ke syurga?” soal baginda.
Titahnya, ramai yang mahu menghukum orang lain terutama mengenai perkara-perkara kecil sedangkan Islam adalah tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain.
Sambil mengingatkan bahawa baginda dilahirkan untuk menjadi raja, baginda juga hanya seorang manusia dan tidak mempunyai hak untuk mengadili mereka.
“Untuk sekalian rakyat Johor jadilah seorang Muslim, tetapi bukan dengan begitu taksub.
“Jadi seorang Muslim dengan menghormati satu sama lain. Johor mempunyai tradisi sendiri dan budaya, dan begitu juga dengan negeri-negeri lain. Kita semua berbeza.
“Berbeza dalam ajaran Islam, berbeza dalam agama agama yang lain dan berbeza puak etnik. Menuding jari dan menilai satu sama lain tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik,” katanya.
Post a Comment