Header Ads

Saya Insaf, Dadah Penyebab Kemusnahan Hidup Seseorang - Faizal AF4

Kesilapan yang dilakukan sebelum ini membuatkan Faizal, 31, atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ramly kian dilupakan masyarakat. Juara Akademi Fantasia musim keempat ini sedar dan enggan alpa lagi.

Hadir ke Balai Berita baru-baru ini dengan ditemani pengurus barunya, Along Bakar dan isterinya, Sahidatul Najiha, Faizal nekad mahu berubah menjadi insan lebih baik.
Apatah lagi setiap kali memandang wajah Sahidatul yang kini hamil empat bulan, timbul rasa bersalah yang teramat sangat.

Sudah puas wanita itu menangis kerana mahu melihatnya berubah. Air mata belahan jiwanya itu mendorong Faizal menetap semula di Kuala Lumpur bagi memulakan hidup baru.

Tubuh yang kian berisi serta raut wajah berseri membuktikan dia bersungguh-sungguh mahu berubah.

“Empat tahun saya hidup dalam kegelapan, jauh daripada sanjungan dan pujian peminat, saya rasa sunyi yang teramat sangat. Segalanya terasa sepi dan kaku, tiada siapa pedulikan saya. Itu akibatnya apabila terlalu mengikut perasaan.

“Saya hilang segala-galanya. Dua perkahwinan sebelum ini musnah begitu sahaja. Saya perlu keluar dari dunia lara itu dan bangkit semula.

“Alhamdulilllah, saya tidak keseorangan dalam usaha mengutip semula sisa cita-cita dan harapan yang sudah saya hancurkan.

“Peminat yang mengundi saya dalam AF dulu tidak henti-henti menyokong saya kembali aktif dalam arena seni. Rupa-rupanya masih ramai yang sayangkan saya dan pastinya saya tidak boleh menghampakan mereka.

“Pertemuan dengan Along Bakar memberi harapan baru kepada saya. Dia yang sudah sekian lama terbabit industri hiburan bersungguh-sungguh mahu membantu saya bangkit semula,” katanya.

Ujarnya lagi, dalam merencana semula masa depan dia bertuah kerana dipertemukan dengan rakan kongsi, Linda Mohd Shariff pada satu acara hiburan.

Wanita itu tidak teragak-agak berkolaborasi dengannya mengusahakan produk kecantikan dan kesihatan.


Beralih kerjaya seni, Faizal berkata dia akan merakamkan single baru ciptaan Aidil Zam.

“Saya akan masuk studio tidak lama lagi dan insya-Allah itu lagu itu akan dapat didengar pada Aidilfitri ini. Doakan saya untuk ‘bangun’ semula. Apa yang berlaku benar-benar buat saya insaf,” katanya.

Faizal turut berhasrat berkongsi pengalaman pahitnya dengan remaja supaya tidak terjebak dengan dadah.

“Dadah boleh buat hidup kita musnah. Jangan cuba dekat kerana kesannya sangat buruk.

“Saya sedia memenuhi undangan mana-mana pihak untuk berkongsi cerita saya terutama untuk pelajar dan remaja,” katanya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.