Bayi Jantung Berlubang Perlu RM120K Untuk Pembedahan
KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia setahun dua bulan yang menghidap masalah jantung berlubang memerlukan kira-kira RM120,000 untuk menjalankan pembedahan.
Menurut ibunya Norlida Othman, 35, anak sulungnya itu Qarl Muhammad Ziqri Abdul Hafiz menghidap penyakit jantung dan masalah saluran pernafasan sejak berusia 42 hari.
“Sejak dilahirkan, bibir dan kuku Qarl berwarna kebiru-biruan. Namun pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa tentang perkara itu, sehingga anak saya dibawa ke klinik kerana batuk.
“Di situ doktor memberitahu batuk anak saya berpunca daripada masalah jantung. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan sebelum dihantar ke Institut Jantung Negara,” kata pembantu tadir ini di rumahnya di Indera Mahkota 1.
Norlida berkata pembesaran Qarl juga agak lewat kerana dia hanya mula merangkak pada usia lapan bulan.
Qarl menjalankan pembedahan memasang sten pada 2015 dan pada 2 Ogos lalu menjalankan pembedahan kateterisasi untuk memasukkan kateter kecil ke dalam jantungnya dan belon untuk merawat salur pernafasannya yang tersumbat.
Anaknya kini diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menjalani satu lagi pembedahan bagi menutup dua lubang di kiri dan kanan jantungnya menjelang Aidiladha ini.
“Kos pembedahan dijangka bernilai RM120,000. Setakat ini kami hanya ada RM2,000. Duit simpanan sudah habis digunakan untuk membayar bil pembedahan pertama sebanyak RM40,000 manakala pembedahan kedua berjumlah RM30,000.
“Kami sangat berharap ramai yang dapat membantu kerana doktor memberitahu pembedahan anak saya tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya.
Mereka yang berhasrat untuk membantu kanak-kanak ini boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Rakyat Norlida bernombor 221131136782 atau nombor akaun Maybank 156012393383 suaminya Abdul Hafiz Mohd Asri.
Mereka juga boleh dihubungi di talian 013-9181004 atau 017-9990065. – BERNAMA
Post a Comment