Penulis Blog ‘Rogol’ Al-Quran Mengaku Salah Hina Islam
SINGAPURA – Penulis blog kontroversi, Amos Yee pada 28 September mengaku bersalah di sebuah mahkamah tempatan terhadap tiga dakwaan sengaja menyakiti perasaan golongan Muslim.
Belia berusia 17 tahun itu yang turut dianggap seumpama Alvin Tan di Malaysia itu mengaku menerbitkan serta menaikmuatkan gambar dan dua rakaman video jelik yang sengaja untuk niat menyakiti perasaan umat Islam.
Bagaimanapun dia hanya akan dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah republik tersebut pada pagi 29 September, lapor stesen penyiaran tempatan milik pemerintah,Channel NewsAsia di sini.
Pada bulan lalu, Yee mengaku bersalah terhadap tiga dakwaan iaitu sengaja menyakiti perasaan penganut Islam dan Kristian serta dua dakwaan kerana didapati gagal hadir melaporkan diri di balai polis ditetapkan.
Semasa perbicaraannya, mahkamah difahamkan sebanyak 24 aduan polis dibuat terhadapnya, berhubung kait dengan enam dakwaan yang dihadapinya kerana menyakiti sensitiviti perasaan berbaur keagamaan.
Yee kemudian didapati berjaya meninggalkan Singapura pada 13 Disember tahun lalu, selepas mendapat notis. Dia bagaimanapun bertemu dengan pihak polis bagi urusan soal siasat dua hari selepas itu.
Dia memberi alasan perlu pergi ke Hong Kong, China konon untuk menerbitkan beberapa catatan mengenai notis yang dikenakan oleh pihak berkuasa republik tersebut ke atas dirinya itu.
Selepas dia pulang April tahun ini, polis mengeluarkan satu lagi notis terhadapnya. Yee cuba meninggalkan negara ini sehari sebelum soal siasat itu namun akhirnya berjaya ditangkap pada 11 Mei lalu.
Dia pernah didakwa atas tuduhan yang sama tahun lalu dan dihukum penjara selama empat minggu. Bagi menyakiti perasaan tentang keagamaan, Yee boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.
Bagi tidak mengendahkan perintah untuk menghadirkan diri ke balai polis bagi siasatan pula, dia boleh dihukum penjara sebulan secara maksimum, didenda sebanyak S$1,500 (RM4,600), atau kedua-duanya.
Yee memang dikenali dalam komuniti YouTube tempatan dengan video paparan lucu menerusi lama itu di samping memainkan satu watak sampingan dalam filem komedi, We Not Naughty sebelum ini.
Pada 28 Mei lalu, pihak Mynewshub ada berkongsi sebuah klip video kontroversi yang dibuat oleh Yee sendiri berniat biadap untuk menghina umat Islam dengan mempersendakan kitab suci al-Quran.
Menerusi video yang berdurasi 47 saat itu, Yee dilihat menjilat dan mengoyakkan helaian al-Quran sebelum tambah kurang ajar lagi, dia turut menjadikan al-Quran sebagai bahan seks dengan ‘merogolnya’.
Pada 1 April tahun lalu, Yee ditangkap polis kerana menghina negarawan Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang baru sahaja meninggal dunia selain menyinggung perasaan penganut Kristian di republik itu.
Kes Yee turut menarik perhatian pelbagai pihak termasuk ada juga yang menyokong remaja itu sebagai ikon dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan lantang antikerajaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
(Nota Editor: Rakaman video kontroversi Amos Yee tidak boleh disiarkan atas arahan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia)
Post a Comment